SALAM SEJAHTERA

Isnin, 3 Mei 2010

BETAPA PAYAHNYA MALAIKAT-MALAIKAT MEMINTA TANAH DARI BUMI

Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam, Akan tetapi apabila beliau sampai ke bumi , bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi khuatir Adam jadi maksiat kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Begitulah seterusnya, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi masih sama dan selepas itu Allah memerintahkan malaikat Israfil, tetapi malangnya jawapan bumi masih tidak berganjak, dan masing-masing kembali dengan tangan yang hampa.Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Kata Allah: " Hai Izrail engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjakan atas perintah dan atas namaKu.Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya barulah bumi mengizinkan akan tanahnya itu diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah dia ke hadrat Allah.Lalu Allah berfirman :"Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak akan kutugaskan engkau mencabut roh manusia.Maka khuatirlah Izrail kerana bimbang dibenci oleh umat manusia.Lalu Allah berfirman lagi: "tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh,terbakar, sakit dan sebagainya.


TANAH YANG BAGAIMANA DIJADIKAN?


1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis

2. Tanah Bukit Tursina

3. Tanah Iraq

4. Tanah Aden

5. Tanah Al-Kautsar

6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah

7. Tanah Paris

8. Tanah Khurasan

9. Tanah(Babylon)

10. Tanah India

11. Tanah syurga

12. Tanah Tha'if


Kata Ibnu Abbas :


1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis, kerana di situlah berada otak manusia,dan disitulah tempatnya akal.

2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.

3. Dahinya dari tanah Iraq,kerana disitu tempat sujud kepada Allah.

4. Mukanya dari tanah Aden, kerana disitu tempat berhias dan tempat kecantikan.

5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.

6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.

7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama,sesama manusia.

8. Tangan kirinya dari tanah Paris,tempat beristinjak.

9. Perutnya dari tanah Babylon.Disitulah tempat seks(berahi) dan tipudaya syaitan untuk menjerumuskanmanusia ke lembah dosa.

10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.

11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.

12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan,ilmu, kemahuan dan sebagainya.

13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap Syahadat, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.


Bagaimanakah prosesnya :


1. Ketika Allah akan jadikan Adam, tanah itu dicampuri air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam "sifat".

2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan didalam "Alam Malakut".

3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan.Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah ,wangi-wangian dari sifat Nur Sifat Allah, dan dirasmi dengan air hujan "Barul Uluhiyah".

4. Kemudian tubuh itu dibenamkan didalam air "Kudral-Izzah- Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal".Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.

5. Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk kedalam tubuh Adam, ia pula merasa malas dan enggan, malah ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk danmenyerah kepada Izrail.


Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini. Kerana Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan: yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia.


Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulitnya hitam, tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.Tujuh buah liang di kepala,dan dua buah liang dibawah badan letaknya.Tujuh buah letaknya di kepala : dua liang mata,dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut.Yang dua macam di bawah : sebuah liang kemaluan dan liang dubur.


Dijadikan pula lima buah pancaindera :


1. Mata alat penglihatan

2. Hidung alat penciuman

3. Telinga alat pendengaran

4. Mulut alat perasa manis,masin dan sebagainya.

5. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk perasahalus, kasar dan sebagainya.


Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam : Lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam.Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini dia pula ditugaskan untuk mencabut nyawa umat manusia.


Setelah itu meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri dan ke kanan. Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih merupakan tanah keras.Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.


Ketika itu Adam telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya kehadrat Allah.


Lalu Allah berkata: "Yarkhamukallah" yang ertinya: "semoga engkau diberi rahmat Allah" Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan "Yarkhamukallah".


Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya kebawah masih menjadi tanah keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud :"Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa" .(Al-Israk: II)


Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasalah lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian bagus dan halus. Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam.


Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah merupakan jenis makhluk manusia yang pertama.Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum lihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hinggalah yang ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.


Renungan : Sesungguhnya Allah itu Maha Besar, Maha Agung , Maha pencipta sekian alam dan pencipta setiap kejadian. Bertaqwalah kita kepadaNya, kerana pada Allah-lah kita akan dikembalikan.

Selasa, 9 Mac 2010

AKHLAK

Salam sejahtera,

Muta'akhir ini, Abang Chaq tengok akhlak adik-adik Abang Chaq, masyaallah, teruk, merudum ke tahap yang terkebawah sekali.

Kadang-kadang Abang Chaq tak sanggup nak tengok perangai depa ni... daripada pakaian, perbuatan, tingkah laku, tutur kata depa, langsung tidak menggambarkan yang kita ni orang Melayu, Islam lagi.

Fenomena kerosakan akhlak adik-adik Abang Chaq ni, banyak berkait rapat dengan faktor kurang didikan agama, ikatan keluarga yang longgar, persekitaran, pengaruh rakan-rakan, media serta pendidikan yang mementingkan kelulusan akademik.

Baru-baru ni, Abang Chaq terbaca satu buku tulisan Dato' Dr. Hassan Bin Hj. Mohd. Ali bertajuk " Mendidik Anak Berakhlak Mulia". Ingin Abang Chaq kongsi bersama tulisan Dato' dalam buku tersebut :

Akhlak berasal daripada perkataan Arab, jamak bagi perkataan khuluqun. Perkataan khuluq yang bermaksud akhlak.

Akhlak adalah kelakuan atau tindakan baik yang dituntut dalam agama serta diiktiraf oleh budaya sebagai baik dan bermoral.

Dalam Islam, akhlak adalah perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah SAW sebelum menyentuh persoalan-persoalan yang lebih besar.

Akhlak sangat penting dalam menentukan darjat dan kedudukan manusia kerana akhlak memisahkan manusia dengan haiwan melalui perlakuannya.

Dalam merongkai masalah akhlak adik-adik Abang Chaq ni, kita sebagai ibu bapa haruslah memainkan peranan yang lebih berkesan untuk mengawal dan mendidik mereka agar menjadi insan mulia.

Abang Chaq teringat satu artikel dalam Majalah Anis keluaran Mac 2010, Ustaz Hj. Drs. Sapawi Che Mat telah memberikan beberapa tip yang berguna untuk kita jadikan panduan dalam mendidik anak kita. Terima kasih Ustaz..

Antara panduan tersebut :-

Kawal Rancangan Televisyen

Zaman dahulu orang-orang tua memberi pengisian ilmu dalam bentuk cerita. Walaupun cerita itu hanya kisah dongeng tetapi ia tetap punya pengajaran kepada anak-anak yang mendengar. Tapi kini rancangan berbentuk pengisian ilmu dan akhlak tidak banyak dipaparkan sebaliknya penonton lebih banyak dihidangkan dengan rancangan hiburan, adengan keganasan. Perkara-perkara khurafat seperti kisah-kisah hantu sewenang-wenangnya ditayang tanpa pengawasan. Bahayanya kerana ia boleh merosakkan pemikiran anak-anak. Ibu bapa perlu bertindak sebagai 'agen penapis' untuk memilih rancangan-rancangan yang sesuai ditonton anak-anak.

Kawal Pemakanan

Perhatikan makanan yang kita bawa masuk ke rumah. Hal-hal kecil kadangkala tidak kita sedari memberi kesan pada pertumbuhan jiwa anak-anak. Makanan yang haram contohnya, kutip pucuk paku walhal ia berdada dalam kawasan rumah orang lain. Tetap kena minta izin kalau hendak mengambilnya. Begitu juga rezeki yang syubhat seperti roti canai telur, sejauh mana kita sudah pastikan telur ayam itu telah dibasuh terlebih dahulu. Kalau diambil dari traynya dan terus dipecahkan dalam roti canai, ia mengandungi kotoran dan memberi kesan pada kebersihan hati. Contoh yang lain, ayam yang dijual dipasaraya, sejauh manakah kita pastikan ia benar-benar mati selepas disembelih. Begitu juga produk makanan hari ini, berapa ramai daripada kita yang peka untuk meneliti kandungannya sama ada halal atau tidak.

Amal Makan Bersama

Walau sibuk sekalipun cuba pastikan kita dapat makan bersama dengan anak-anak. Makan berjemaah menyatukan hati. Inilah cara didikan Rasulullah SAW yang terbukti berjaya apabila baginda selalu makan bersama-sama para sahabat. Satu cara lagi untuk timbulkan kasih sayang, elok amalkan berkongsi makanan dalam satu bekas.

Kualiti Masa Bersama Anak-Anak

Apabila bersama-sama anak-anak seorang bapa hendaklah jelmakan watak kanak-kanak pada dirinya supaya tidak timbul 'gap' atau penghalang. Kita hendaklah bersenda gurau dan bermain bersama mereka. Bukannya mereka bermain sesama mereka manakala ayah hanya duduk di tepi sambil membaca akhbar. Untuk berlibur tidak semestinya bawa anak-anak ke tempat percutian yang mahal. Taman rekreasi yang berdekatan pun boleh. Yang penting kita ada masa untuk bersama-sama mereka.

Selalu Peluk Anak

Nabi SAW insan yang pengasih yang selalu memeluk anaknya. Satu ketika seorang Arab Badwi terlihat Baginda memeluk dan mencium anaknya, Ibrahim. Dia berasa hairan lalu bertanya kepada Baginda. "Aku memiliki ramai anak tetapi aku tidak pernah mencium mereka." Baginda SAW pun menjawab, "Allah Taala tidak akan merahmati mereka yang tidak merahmati insan kecil."

Berdoa

Berdoa itu dikatakan kunci segala ibadah. Berdoalah di tempat yang mustajab dan pada masa yang dimakbulkan berdoa. Setiap hari kita mesti doakan anak-anak kita apa lagi ketika sedang bersama-sama mereka.

Seeloknya selepas solat berjamaah bersama isteri dan anak-anak, ayah akan membaca doa. Berdoalah dalam Bahasa Melayu supaya mudah difahami dan dihayati oleh seisi keluarga. Sebutkan nama anak satu persatu dalam doa kita itu. Tujuannya agar anak kita akan mendengar apakah doa dan harapan kita ibu bapanya kepada Allahyang maha Esa. Dalam doa itu juga tidak salah kita mengakui kesalahan dan kesilapan kita dalam mendidik mereka. Agar mereka tahu sebagai ibu bapa kita tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap dalam mendidik.

Amalkan Sifat Adil

Layani setiap anak sama rata tanpa mengira kelebihan dan kejurangan diri masing-masing. Selalu beri galakan pada mereka dengan kata-kata perangsang. Keadilan bukan sahaja pada anak-anak tetapi keadilan pada diri sendiri. Contohnya, sebagai ayah jangan malu mengaku kalau terbuat silap. Berani mengaku dan minta maaf pada anak-anak.

Didik Anak Minta Izin

Keluar masuk rumah ada disiplinnya. Didik mereka meminta izin. Tapi didikan bermula dari teladan seorang ayah. Contohnya, mengamal sikap memberitahu isteri ke mana hendak pergi. Kalau sampai ke mana-mana destinasi, segera telefon isteri. Anak-anak juga harus didisiplinkan dengan mengajar mereka memberitahu ke mana mereka pergi. Kalau mereka terlupa, kita sebagai ibubapa harus ingatkan.

Pantau Anak-Anak

Sebagai ketua keluarga kita perlu memantau perbuatan anak-anak. Contohnya, anak remaja yang liat bersolat Subuh. Lihat samada dia benar-benar sudah bangun solat Subuh dengan melihat tanda-tanda seperti bilik air adakah sudahkah digunakan.

Akhlak Bersama Isteri

Jaga hubungan suami isteri. Di hadapan anak-anak jagalah akhlak kita. Jangan sampai kita berkelahi suami isteri di hadapan anak-anak. Begitu juga di hadapan ibu mertua. Jangan menghina kesilapan masing-masing di hadapan anak-anak kerana itu semua akan mengurangkan rasa hormat mereka kepada orang tua mereka.

Ceritakan Pengorbanan Ibu

Tanamkan kesedaran pada anak-anak tentang pengorbanan ibu mereka. Tanamkan rasa insaf mereka dengan kata-kata, "Tengok ibu kanu dari awal pagi sudah bersengkang mata siapkan sarapan kamu......" Galakkan mereka membalas jasa dan budi kepada ibu yang telah bersusah payah mengasuh anak-anak dari kecil hingga dewasa.