SALAM SEJAHTERA

Selasa, 9 Mac 2010

AKHLAK

Salam sejahtera,

Muta'akhir ini, Abang Chaq tengok akhlak adik-adik Abang Chaq, masyaallah, teruk, merudum ke tahap yang terkebawah sekali.

Kadang-kadang Abang Chaq tak sanggup nak tengok perangai depa ni... daripada pakaian, perbuatan, tingkah laku, tutur kata depa, langsung tidak menggambarkan yang kita ni orang Melayu, Islam lagi.

Fenomena kerosakan akhlak adik-adik Abang Chaq ni, banyak berkait rapat dengan faktor kurang didikan agama, ikatan keluarga yang longgar, persekitaran, pengaruh rakan-rakan, media serta pendidikan yang mementingkan kelulusan akademik.

Baru-baru ni, Abang Chaq terbaca satu buku tulisan Dato' Dr. Hassan Bin Hj. Mohd. Ali bertajuk " Mendidik Anak Berakhlak Mulia". Ingin Abang Chaq kongsi bersama tulisan Dato' dalam buku tersebut :

Akhlak berasal daripada perkataan Arab, jamak bagi perkataan khuluqun. Perkataan khuluq yang bermaksud akhlak.

Akhlak adalah kelakuan atau tindakan baik yang dituntut dalam agama serta diiktiraf oleh budaya sebagai baik dan bermoral.

Dalam Islam, akhlak adalah perkara pertama yang disentuh oleh Rasulullah SAW sebelum menyentuh persoalan-persoalan yang lebih besar.

Akhlak sangat penting dalam menentukan darjat dan kedudukan manusia kerana akhlak memisahkan manusia dengan haiwan melalui perlakuannya.

Dalam merongkai masalah akhlak adik-adik Abang Chaq ni, kita sebagai ibu bapa haruslah memainkan peranan yang lebih berkesan untuk mengawal dan mendidik mereka agar menjadi insan mulia.

Abang Chaq teringat satu artikel dalam Majalah Anis keluaran Mac 2010, Ustaz Hj. Drs. Sapawi Che Mat telah memberikan beberapa tip yang berguna untuk kita jadikan panduan dalam mendidik anak kita. Terima kasih Ustaz..

Antara panduan tersebut :-

Kawal Rancangan Televisyen

Zaman dahulu orang-orang tua memberi pengisian ilmu dalam bentuk cerita. Walaupun cerita itu hanya kisah dongeng tetapi ia tetap punya pengajaran kepada anak-anak yang mendengar. Tapi kini rancangan berbentuk pengisian ilmu dan akhlak tidak banyak dipaparkan sebaliknya penonton lebih banyak dihidangkan dengan rancangan hiburan, adengan keganasan. Perkara-perkara khurafat seperti kisah-kisah hantu sewenang-wenangnya ditayang tanpa pengawasan. Bahayanya kerana ia boleh merosakkan pemikiran anak-anak. Ibu bapa perlu bertindak sebagai 'agen penapis' untuk memilih rancangan-rancangan yang sesuai ditonton anak-anak.

Kawal Pemakanan

Perhatikan makanan yang kita bawa masuk ke rumah. Hal-hal kecil kadangkala tidak kita sedari memberi kesan pada pertumbuhan jiwa anak-anak. Makanan yang haram contohnya, kutip pucuk paku walhal ia berdada dalam kawasan rumah orang lain. Tetap kena minta izin kalau hendak mengambilnya. Begitu juga rezeki yang syubhat seperti roti canai telur, sejauh mana kita sudah pastikan telur ayam itu telah dibasuh terlebih dahulu. Kalau diambil dari traynya dan terus dipecahkan dalam roti canai, ia mengandungi kotoran dan memberi kesan pada kebersihan hati. Contoh yang lain, ayam yang dijual dipasaraya, sejauh manakah kita pastikan ia benar-benar mati selepas disembelih. Begitu juga produk makanan hari ini, berapa ramai daripada kita yang peka untuk meneliti kandungannya sama ada halal atau tidak.

Amal Makan Bersama

Walau sibuk sekalipun cuba pastikan kita dapat makan bersama dengan anak-anak. Makan berjemaah menyatukan hati. Inilah cara didikan Rasulullah SAW yang terbukti berjaya apabila baginda selalu makan bersama-sama para sahabat. Satu cara lagi untuk timbulkan kasih sayang, elok amalkan berkongsi makanan dalam satu bekas.

Kualiti Masa Bersama Anak-Anak

Apabila bersama-sama anak-anak seorang bapa hendaklah jelmakan watak kanak-kanak pada dirinya supaya tidak timbul 'gap' atau penghalang. Kita hendaklah bersenda gurau dan bermain bersama mereka. Bukannya mereka bermain sesama mereka manakala ayah hanya duduk di tepi sambil membaca akhbar. Untuk berlibur tidak semestinya bawa anak-anak ke tempat percutian yang mahal. Taman rekreasi yang berdekatan pun boleh. Yang penting kita ada masa untuk bersama-sama mereka.

Selalu Peluk Anak

Nabi SAW insan yang pengasih yang selalu memeluk anaknya. Satu ketika seorang Arab Badwi terlihat Baginda memeluk dan mencium anaknya, Ibrahim. Dia berasa hairan lalu bertanya kepada Baginda. "Aku memiliki ramai anak tetapi aku tidak pernah mencium mereka." Baginda SAW pun menjawab, "Allah Taala tidak akan merahmati mereka yang tidak merahmati insan kecil."

Berdoa

Berdoa itu dikatakan kunci segala ibadah. Berdoalah di tempat yang mustajab dan pada masa yang dimakbulkan berdoa. Setiap hari kita mesti doakan anak-anak kita apa lagi ketika sedang bersama-sama mereka.

Seeloknya selepas solat berjamaah bersama isteri dan anak-anak, ayah akan membaca doa. Berdoalah dalam Bahasa Melayu supaya mudah difahami dan dihayati oleh seisi keluarga. Sebutkan nama anak satu persatu dalam doa kita itu. Tujuannya agar anak kita akan mendengar apakah doa dan harapan kita ibu bapanya kepada Allahyang maha Esa. Dalam doa itu juga tidak salah kita mengakui kesalahan dan kesilapan kita dalam mendidik mereka. Agar mereka tahu sebagai ibu bapa kita tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap dalam mendidik.

Amalkan Sifat Adil

Layani setiap anak sama rata tanpa mengira kelebihan dan kejurangan diri masing-masing. Selalu beri galakan pada mereka dengan kata-kata perangsang. Keadilan bukan sahaja pada anak-anak tetapi keadilan pada diri sendiri. Contohnya, sebagai ayah jangan malu mengaku kalau terbuat silap. Berani mengaku dan minta maaf pada anak-anak.

Didik Anak Minta Izin

Keluar masuk rumah ada disiplinnya. Didik mereka meminta izin. Tapi didikan bermula dari teladan seorang ayah. Contohnya, mengamal sikap memberitahu isteri ke mana hendak pergi. Kalau sampai ke mana-mana destinasi, segera telefon isteri. Anak-anak juga harus didisiplinkan dengan mengajar mereka memberitahu ke mana mereka pergi. Kalau mereka terlupa, kita sebagai ibubapa harus ingatkan.

Pantau Anak-Anak

Sebagai ketua keluarga kita perlu memantau perbuatan anak-anak. Contohnya, anak remaja yang liat bersolat Subuh. Lihat samada dia benar-benar sudah bangun solat Subuh dengan melihat tanda-tanda seperti bilik air adakah sudahkah digunakan.

Akhlak Bersama Isteri

Jaga hubungan suami isteri. Di hadapan anak-anak jagalah akhlak kita. Jangan sampai kita berkelahi suami isteri di hadapan anak-anak. Begitu juga di hadapan ibu mertua. Jangan menghina kesilapan masing-masing di hadapan anak-anak kerana itu semua akan mengurangkan rasa hormat mereka kepada orang tua mereka.

Ceritakan Pengorbanan Ibu

Tanamkan kesedaran pada anak-anak tentang pengorbanan ibu mereka. Tanamkan rasa insaf mereka dengan kata-kata, "Tengok ibu kanu dari awal pagi sudah bersengkang mata siapkan sarapan kamu......" Galakkan mereka membalas jasa dan budi kepada ibu yang telah bersusah payah mengasuh anak-anak dari kecil hingga dewasa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan