Adapun isu perkara yang
membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati
sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah
menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari
bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi
kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi
kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh
hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid
atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan
puasa.
Adapun yang tidak disepakati,
boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita
apabila berada di dalam Ramadhan. Sebagai panduan, berikut disertakan
beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang
ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh
; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah
dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang
membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut
dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu,
Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam
yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut
Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang
menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari,
3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan
terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh,
Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. (
Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga
terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di
bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat
tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang
berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan
dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali
jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor
penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali
juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya
dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja'
atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak
batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh
Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak
sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil
Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal,
justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang
agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh
:
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa
mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang
berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu
kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang
haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah
:
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai
2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu
ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka
berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian
lain menolak.
Menurut kajian terperinci
bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang
jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya
akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini
bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru
sudah pasti ia
membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh
Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka
menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam
persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama
kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para ulama masih
perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa
tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah,
menyebut hukumnya tidak
batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak
masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan
puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama
berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun
serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah
satu keperluan mendesak
buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula
kerana nafsu lapar.
Pandangan terpilih adalah
TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar
perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap
kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya
iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia.
Sebagaimana kaedah Fiqh "
والأصل
بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya,
kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun
jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan
bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang
diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula
adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air
yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu.
Wallahu'alam.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain
rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk
berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam,
bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak
membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga
hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan,
airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi
berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak
masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta
tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof
Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad
As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam,
hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis
makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk
melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa
wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika
berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah
berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan
wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke
hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ;
At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban &
Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti
mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan
mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik
kehormatan Ramadhan. Pahala
puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan
keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh
keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda :
"Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka
semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan
wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala
berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil
antaranya :-
كان رسول
اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان
أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi
S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi
baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu
Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
فجاء
شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم
قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ
يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama
Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan
aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan
bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami saling
berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu mengapa kamu saling
berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal
dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah
yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah
"berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal
nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman
sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan
boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu
malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira
sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar
subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8
pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada
niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh
majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ
الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya :
"Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa
(wajib) baginya" (Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih)
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang
keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak
persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan
puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali
menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi,
Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya
berfatwa keluarnya air mazi tidak
membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani
tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh melalui
onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib
qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani
hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal
menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan
Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya
lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar
bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga
adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana
bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama
menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur
dan kahak
Hukum
: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal
seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak
yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu
masih berada pada had tekak maka tidak
membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar
daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi
khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal
dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat
HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah
kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia
membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak,
jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang
berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang
menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh,
namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang
biasa?. Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti
Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula
adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga)
akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya boleh
batal apabila seseorang mandi
sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh
para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu
sendiri.
14) Berniat berbuka
atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah
membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan
segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak
terbatal.
Justeru, seluruh
individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk
membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal
kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal
jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Dipetik dari Zaharudin.net
Terima kasih Ustaz Zahiruddin Bin Abdul Rahman...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan