Gambar Hiasan
Kita selalu mendengar tentang hukuman gantung sampai mati di dada-dada akhbar, kaca televesyen atau di corong-corong radio. Hukuman ini dijatuhkan kepada pesalah yang telah melakukan jenayah berat seperti mengedar dadah, membunuh dan sebagainya. Bayangkan jika kita sendiri yang menerima hukuman tersebut, pasti kecut perut dan kering darah merasai ketakutan membayangkan leher kita bakal dijerut dan dibiarkan tergantung sampai mati. Harap-harap dijauhkan... amin...
Semoga artikel di bawah ini akan menyedarkan dan menginsafkan kita tentang akibat jika kita terlibat dalam jenayah besar dan juga kecil, kerana dari kecil akan membawa kepada yang lebih besar.
Tali gantung yang diimpot diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembu supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.
Gambar Hiasan
Setiap satu berharga di antara RM4,000.00 hingga RM5,000.00. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekal akan diuji ketahanannya dengan menggantung patung seberat lebih 90 kg. selama 72 jam. Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan ianya disimpan di dalam peti besi.
Setiap tali gantung yang diterima ada perkiraannya. Ada cara-cara yang kita kena ikut. Tidak boleh ambil dan terus pasang. Ada empat jenis tali dan tali tersebut dipilih mengikut berat banduan.
Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang akan berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan.
Apabila Rayuan Ditolak
Di Penjara Kajang, banduan yang dijatuhkan hukuman gantung dikenali sebagai 'banduan akhir' dan akan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.
Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari bersendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.
Banduan akhir ini mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.
Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman. Di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalan serta masa hukuman akan dilaksanakan iaitu antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi. Tempoh untuk laksanakan hukuman adalah satu jam. Untuk banduan beragama Islam biasanya hukuman gantung akan dilaksanakan pada hari Jumaat, selepas solat Subuh. Bagi yang bukan beragama Islam pula, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza.
Gambar Hiasan
Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan Pengarah Penjara yang akan memaklumkan tentang perlaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.
Biasanya banduan akhir ini akan tahu dia akan digantung apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat.
Semasa banduan akhir berada di bilik Pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk 'perjumpaan terakhir'.
Lazimnya suasana pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini. Banduan juga diberi pilihan untuk 'hidangan terakhir' bernilai RM7.50.
Hari Penggantungan
Kebanyakan banduan akhir yang akan menjalani hukuman gantung dengan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan.
Mereka yang rajin sembahyang, tidak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat akhir.
Menurut seorang petugas penjara yang bernama Samuel, "Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu", katanya.
Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dilaksanakan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.
"Jangan ikut tabiat buruk ayah". Itu antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.
Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.
"Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembanhyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300.00. Mati penuh bergaya, kata banduan itu berjenaka", cerita Samuel.
Hukuman gantung pula hanya dilaksanakan selepas semua pihak termasuk Pengarah dan Doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.
Bila Pintu Perangkap Renggang
Pintu perangkap di bilik gantung tempat banduan akhir itu berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik.
Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.
Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.
Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan Pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik 'gear' untuk membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.
Semuanya perlu dibuat dengar lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiarkan tergantung.
"Saya sering mengingatkan Pembantu-Pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tidak ada masalah", jelas Samuel.
"Kebiasaanya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh Bos-Bos saya dulu", katanya lagi.
Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel. Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak anak-anak mereka terjerumus melakukan jenayah.
"Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tidak dikawal, akan musnahlah kehidupan keluarga tersebut. Dadah, umpamanya, kalau seorang di dalam keluarganya menjadi penagih, satu keluarga akan terjejas", katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.
Sumber oopsshmedia.blogspot.com
Gambar Hiasan
Penjara Pudu - arus pembangunan yang begitu laju di Kota Raya Kuala Lumpur memaksa penjara ini tinggal di dalam lipatan sejarah negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan